KUALA LUMPUR: Biarpun projek mega itu perlu untuk mengukuhkan ekonomi negara, termasuk mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, namun tiada gunanya jika ia tidak berpaksikan kepada prinsip integriti, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sewaktu berhujah di program Debat Perdana malam ini, Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, projek mega boleh dipertimbangkan jika beri manfaat langsung kepada rakyat, tetapi tanpa integriti, kos yang ditanggung mungkin lebih tinggi daripada biasa.

Tambah Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi, penyelewengan daripada projek berskala besar itu boleh timbul, seperti mana yang terjadi pada masa lepas, sekiranya tidak dibahaskan secar telus dan terbuka, terutamanya di Parlimen.

“ECRL, HSR, Pan Borneo dan sebagainya … kalau projek itu memberi manfaat langsung pada rakyat bawahan, maka ia boleh dipertimbangkan. Tapi kena ada integriti. Jangan kos RM50 bilion boleh menjadi RM70 bilion.

“Kalau saya tangani permasalahan (skandal) Perwaja, audit forensik pasti dibentang di Parlimen. Tapi mereka takut … sebab apa? Sebab nanti didedahkan penyelewengan ini, maka tak berani dibahaskan di Parlimen,” tegasnya lagi.

Teliti semula isu GST, utamakan integriti dan pengurusan kerajaan

Anwar, yang juga merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri, berkata demikian dalam program Debat Perdana bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang berlangsung di ibu negara, malam ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tiada guna jika kerajaan terus memberi tumpuan kepada projek berskala besar, sekiranya masalah asas rakyat seperti bekalan air bersih, akses kesihatan tidak menyeluruh, dan mutu pendidikan rendah masih tidak diselesaikan.

“Saya tak pertikai dalam mana-mana kerajaan sekali pun, harus ada keutamaan untuk tempoh lima tahun ini. Tapi hal asas kepada rakyat bagaimana? Masalah pengangguran tak akan selesai dengan projek mega semata-mata,” katanya lagi.

Anwar berkata, jangan semata-mata terlampau tumpukan satu atau dua isu, maka kerajaan berasakan itu sudah memadai.

Katanya lagi, sejarah menyaksikan bagaimana beberapa projek mega yang dilakukan, akhirnya menimbulkan krisis kewangan kepada negara, kerana ia tidak dibahas dengan menyeluruh dalam Parlimen.

“Sebab itu saya katakan harus ada tekad politik yang jelas, harus ada kawalan dalam isu seperti pembalakan, ambil tanah, urus dana kerajaan, ini paling baik harus melalui Parlimen.

"Berani bentang dan bahaskan. Jangan hanya gunakan ruang untuk beri penjelasan, konon ada jawapan, tapi tak tahu apa faktanya.

“Sebagai contoh, kos MRT tak tahu berapa akhirnya, isu Digital Nasional Berhad (DNB) tak selesai. Percayalah kalau tak tangani bersama, saya bagi tempoh dua tahun tiga tahun, maka DNB akan hantui kita semua. Dan kita semua kembali bahas semula bagaimana nak bail-out DNB,” katanya lagi.